BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

memories

Monday, June 7, 2010

stress: baik atau buruk?????

www.iluvislam.com
Oleh : safiyyah_hatim
Editor : doraemong13


Alhamdulillah atas nikmat hidup yang Allah berikan. Bersyukur masih diberi peluang untuk menghirup udaramu ya Allah. Dalam kesibukan kita mengejar arus kehidupan yang sangat laju, pernahkah kita terfikir untuk berhenti? Pernahkah anda merasa stress atau tekanan yang sangat hebat?

Pasti setiap diri pernah merasa tekanan dalam kehidupan. Ada banyak sebab kita sering tertekan. Mungkin kerana peperiksaan, masalah kewangan, masalah persahabatan, dan banyak lagi senarai masalah kita.





Sahabat-sahabat yang dikasihi,

Pernahkah anda terfikir hikmah mengapa Allah jadikan masalah yang akhirnya memberi tekanan kepada kita? Pernahkah anda merasakan bahawa dugaan yang diterima sangat berat dan tidak tertanggung? Mari sama-sama kita teliti firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (2:286):

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai tuhan kami! Janganlah engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau Kami tersalah. Wahai tuhan Kami ! Janganlah engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai tuhan kami! Janganlah engkau pikulkan kepada Kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir."

Petikan dari surah ini menunjukkan Allah tidak berlaku zalim kepada hamba-Nya. Allah menguji makhluk sesuai dengan keupayaan makhluk tersebut.

Sahabat-sahabat,

Suka untuk saya bawakan satu dimensi berbeza untuk kita melihat tekanan dan ujian yang melanda diri kita. Saya ingin kita sama-sama melihat bahawa tekanan dan ujian itu adalah hadiah dari Allah. Ya, hadiah dari-Nya. Bagaimana?

1) Tekanan yang Allah berikan boleh menjadi salah satu cara untuk mendekatkan diri kita kepada Allah.

Sudah menjadi lumrah apabila kita berada dalam kesusahan kita akan meminta pertolongan. Tekanan sebagai salah satu masalah yang menimpa diri kita mampu membantu kita untuk taqarrub, mengadu, mengaku kesalahan dan kelemahan diri kita. Ya, Allah ingin kita mengadu kepada-Nya. Sedarkah kita apabila kita senang, kita sering melupakan nikmat Allah, jadi tekanan ini membolehkan kita mendekati Allah dan terus mengadu kepada-Nya.

2) Tekanan adalah peluang untuk kita memperbaiki diri.

Sedarkah kita apabila kita tertekan, ia mungkin berkait dengan pengurusan diri yang kurang baik? Saya sendiri jika berhadapan dengan tugasan yang terlalu banyak akan merasa tertekan. Bila difikirkan kembali, ia mungkin berkait dengan ilmu pengurusan masa dan kerja yang kurang efektif. Jadi, marilah kita sama-sama muhasabah kekurangan ini dan memperbaikinya.




3) Tekanan menjadikan kita lebih tabah dan cekal.

Biasa kita melihat ibu tunggal yang cekal membesarkan anak-anak dengan berjaya selepas kematian suami. Anda rasa, mengapa mereka berjaya? kerana adanya tekanan. Ya, tekanan menjadi 'driving force' atau daya penguat untuk mereka berusaha. Tekanan untuk memastikan yang terbaik diberi kepada anak-anak memungkinkan mereka terus berusaha tanpa memikirkan penat lelah.

4) Tekanan sebagai medium menguji keimanan.

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran (3:139):

"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman."

Lihat sahabat-sahabat sekalian, Allah memberikan motivasi langsung kepada manusia. Jangan berasa lemah dan jangan bersedih hati yang berlebihan. Kerana jika kita bersabar, melawan perasaan sedih dan setrusnya berusaha untuk bangkit, kitalah antara orang yang Allah kasihi.

5) Tekanan sebagai batu loncatan bukan sebagai batu penghalang.

Seringkali kita mendengar keluahan orang yang tertekan. Mereka merasakan bahawa masalah yang membawa kepada tekanan akan menyusahkan hidup mereka. Saya ingin mengajak sahabat-sahabat untuk melihat tekanan sebagai pemangkin kejayaan bukan sebagai pembantut. Bagaimana? Cuba kita bayangkan, andainya kita dapat mengubah tekanan yang kita rasai kepada tenaga positif, ia sebenarnya boleh menjadi kekuatan untuk kita berjaya. Dengan kata lain, kita "menekan" diri kita untuk cuba menyiapkan kerja sebaik mungkin dan tidak mengeluh. InsyaAllah ia akan menjadi kekuatan kepada kita. Bila kita diuji lagi, kita akan terbiasa dan mampu menghadapinya dengan baik.

Sedikit penambahan tentang ciri-ciri orang yang sabar yang dinyatakan Allah dalam Surah Ali-Imran (3:146):

"Dan berapa banyak dari nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar."


Motivasi Allah kepada manusia: Jangan lemah semangat dan jangan menyerah kalah!

Satu perkara yang perlu kita sedari ialah, kelahiran kita di dunia ini adalah bukti kita insan yang terpilih untuk hidup di bumi Allah. Jadi, jangan jadikan tekanan sebagai perkara yang melemahkan kita. Merayulah , mengadulah, berdoalah kepada Allah, kerana dia maha mendengar dan memakbulkan permintaan hamba-Nya. Yakinlah sahabatku setiap ujian ada hikmahnya, kita perlu bersabar untuk menyaksikannya.

Sekadar ingatan buat diri ini jua.

Wallahua'lam

0 comments:

SEKOLAH DULU